Saturday, December 31, 2011

Memaafkan

Aku teringin benar untuk memulakan tahun 2012 sebagai tahun aku memaafkan insan yang pernah melukakan dan menyakiti aku. Luka dalam erti kata hutang darah. Sakit dalam erti kata dipukul dan dihina. Namun kekuatan manalah yang dapat aku gapai.

Mahu memaafkan Nur, adalah azam sejak 1433 Hijrah yang lalu, telah lama bermain difikiranku. Nur dan aku bukanlah maksum. Kita sama belajar dari kesilapan. Namun apakah memaafkan bermakna aku perlu  menyambung semula persahabatan? Memaafkan itu satu perkara. Persahabatan yang tulus dan ikhlas adalah perkara kedua.

Hutang darah dan sakit badan kena pukul bulan April lepas sampai kini masih pedih diragaku. Sampai kini aku tidak bertegur sapa dengan insan yang memukul aku. Mujurlah semasa kejadian aku berparang untuk mempertahankan diri dan melawan balik itu dapat dipatahkan oleh ayah. Kalau tidak mungkin kini aku sudah jadi pembunuh. Hati siapalah yang tidak sakit ketika kaki patah riuk dan tempang kena pukul pula. Sungguh aku teraniaya.

Memang sifatku tidak pernah takut dengan sesiapa pun. Aku sanggup membunuh kalau terpaksa. Itu aku tahu benar kerana semua ketakutan biasa yang orang lain rasa aku tidak rasa. Mudah cakapnya aku hati kering. Sejak kecil hasil daripada pengalaman dikejar ayah dengan parang pada umur 9 tahun kerana memukul adik Mat. Hasil disebat ayah dengan rotan sebesar ibu jari sampai berselirat badanku dengan kesan lebam. Hasil diterajang ke laut dan dibiar menyelamat nyawa sendiri di Selat Melaka. Namun hati keringku bukan dalam semua perkara. Hati kering dalam soal prinsip dan jatidiri. Soal kalau dianiaya dan teraniaya. Cuma adakah aku mampu memaafkan seikhlas rasa?

Teringin sungguh memulakan umur pada siri 30an sebagai insan yang aman. Sebagai insan yang cemerlang. Sebagai insan yang disayangi semua seperti bos senyum ketawa. Tuhan, betapa kerdilnya diriku.

4 comments:

  1. Moga Allah memakbulkan cita2 mu sahabat!

    melalui perit pedih,dipukul diterajang, dilambung badai ombak...manakan hati tak kering, cuma sesekali aliff, hati pun kena basahkan juga....

    ReplyDelete
  2. SALAM,
    Singgah dan Ucapan selamat tahun baru 2012M dan 1433H drpd LF dan isteri. Mendoakan moga kita semua sentiasa di atas landasanNYA.

    ReplyDelete
  3. saling memaaf amalan mulia..

    ReplyDelete
  4. Afida,

    mudah-mudahan kerana memang kepingin benar hatiku untuk jadi insan yang aman. sudah terlalu lama aku menjadi insan yang keras hati.

    Dato' LF,
    Selamat tahun baru 2012, insyaAllah ada waktu kita akan bertemu. Nasihat dan buah fikiran Dato' di blog itu banyak membantu saya.

    Papa Mifz,

    Doakan hati aku jadi lembut untuk memaafkan.

    ReplyDelete