Friday, March 2, 2012

Thursday, March 1, 2012

Usah rasa sunyi

Usahlah awak rasa sunyi dan rindu serta sedih. Allah SWT sentiasa ada. Berserahlah sepenuhnya pada Yang Maha Mengetahui, Maha Adil dan Maha Mengasihi....

Wednesday, February 29, 2012

Salah jam.

Surat panggilan bermesyuarat aku baca sekilas. Tidak mencatatkan apa-apa ke buku tugasan harian. Bertangguh kerana urusan ke Sarawak tempohari. Kesibukan yang menghambat sejurus pulang dari Kuching menjadikan aku terlupa. Sehinggalah semalam, urus setia mesyuarat menalifon meminta maklum balas. Aku hantar maklum balas ringkas sambil berfikir dimanakah letaknya surat panggilan itu. Sampai ke tamat waktu kerja aku nanar mencari.

Pagi ini, kenderaan yang kutempah semalam sudah siap menunggu jam 6.45 pagi. Aku rancang mahu elakkan kesesakkan jalanraya kerana tempat mesyuarat dijalankan ditengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. "Abang tunggu sekejap ya, saya mahu ke atas ambil diari kerja yang tertinggal semalam". Jam sudah 7.00 pagi, hari masih gelap. Aku teringat fail mesyuarat di Sarawak, segera kubuka dan tersengih sendiri.

"Bang, tidak jadilah kita ke Kuala Lumpur pagi ini. Saya salah tengok tarikh mesyuarat ni". Pemandu aku sengih. "Nasib baik encik semak semula surat panggilan bermesyuarat" jawab pemanduku yang sabar.

Allahhuakbar, itulah jadinya kalau sudah terlalu sibuk.

Dua tiga hari selepas balik dari Sarawak aku memang terkejar-kejar kerana ada lebih 40 kes tertunggak yang kuwarisi dari pegawai yang menjawat jawatan ini. Aku diamanahkan untuk menyelesaikan semua kes ini sebelum April. Masalahnya ada berlaku "bottle neck" dalam proses kerja kerana pengganti Abah Soleh masih belum sampai. Kelulusan dari penjawat jawatan Abah Soleh tinggalkan amatlah perlu untuk meneruskan prosedur kes - kes tatatertib.

Anak buahku yang tinggal bersama turut menjadi penyumbang kepada kesibukkan. Aku jadi pemandu beliau,  menjemput pulang selepas habis waktu sekolah. Paling kelakarnya, hidup bujang aku habis jadi terbalik sebab kena mengadakan rumah yang semacam rumah bertangga. Beli pinggan, beli tilam untuk anak buah. Peti sejuk aja belum lagi. Dapur masak sudah ada, tong gasnya kena cari! Kuali, sudip dan barang-barang dapur!.

Susah juga jadi insan berumah tangga ni. Patutlah aku lambat kahwin.

Tuesday, February 28, 2012

Integriti

Aku tanya pada Ly Kecik, apa tindakan beliau sekiranya menerima arahan yang bertentangan dengan integriti. Ly Kecik diam. Dalam berfikir dan akhirnya menyatakan, bersabar.

Kurang tepat.

Aku terus telefon abah Nawi. Seorang pegawai kanan yang menunggu masa untuk pencen. Ringkas dan mudah jawapan beliau. "Aliff buat kerja ikut proses dan prosedur". Ikut sistem dan teknik yang benar. InsyaAllah, selamat.

"Berat mu duduk di kerusi BOID tu!".Ayat akhir abah Nawi aku sambut dengan gelak tawa. Sinis dalam hati menyatakan, "sampai mati abah, aku dipertanggungjawabkan. Moga-moga jari, mata dan telingaku dapat bersaksi yang benar aku menegakkan syariat dan tanggungjawab sebagai mukmin!".

Wednesday, February 22, 2012

Jejak

Sarawak adalah negeri kedua akhir yang baru dapat kujejaki setelah 30 tahun udara bumi Malaysia kuhirup! Tinggal lagi Sabah. Entah bila pula. Bandar Kuching yang hanya kukenal melalui pelajaran Geografi semasa tingkatan enam dulu, indah pemandangannya dari tingkat 9 bilik hotel ditebingan sungai Sarawak. Siapalah yang menciptakan lagu yang bait liriknya, 'sayang sarawak sungainya sempit!'. Luas jua, pakai bot untuk ke seberang waktu mahu beli kek lapis Dayang Salha.

Dua hari sahaja kerana dibiayai oleh kerajaan, atas dasar tugas dan aku pulang dengan kepala yang berat. Banyak kerja aku selepas ini. Si Moneirah jadi pemandu pelancong aku, teman baik geng peminat buku Ahmad Patria, rupanya gagal jadi pemandu pelancong. : D. Namun kelakarnya diri dia menjadikan aku begitu terhibur.

Berkenalan dengan Suhail, Azlee, Shahrizal, Zamri dan melihat ramai pegawai kanan. Aku yang masih status pegawai cabuk hanya senyum-senyum. Terasa kecilnya diri duduk disebelah para JUSA....Melihat para pegawai kanan itu bermuafakat, aku jadi rindu jeritan Abah Soleh yang tidak pernah lokek ilmu dan utuh pendirian. Entah bila penggantinya akan tiba....

Friday, February 17, 2012

Rajuknya panjang....

Kekasih, panjang rajukmu atas bahasa-bahasa dan pendirianku. Maafkan daku. Tidak berniat mahu mengguris, cuma mahu memberikan kejelasan. Aku tidak pandai memujuk.

Kekasih, aku serahkan hatimu kepada Allah. Aku serahkan jua harapan, doa dan kasih sayangku untukmu kepada Allah. Berdoalah semoga hati-hati kita bertemu keindahan dan menghilangkan walang. Senyumlah walau bukan untukku.

Kekasih, ini waktu Maghrib, doa kupanjatkan usai solat untuk dikau yang kuimpikan. Semoga Allah membalut lukamu. Aku hanyalah insan biasa tidak mampu memuaskan hatimu sebaiknya. Kudratku jua milikNya, akal dan ragaku jua pinjamannya.

Kekasih, hentilah duka dan berbahagialah kerana aku sentiasa ada selagi ada nyawa, kudrat dan akal untuk menjaga diri kita.

Thursday, February 16, 2012

Bina semula keyakinan

Aku perhatikan kalau terlalu tinggi tekanan yang ada, aku hilang fokus dan keyakinan diri. Berbeza dari Ly Kecik, makin tinggi tekanan yang ada dia makin fokus dan berkeyakinan diri.

Hmmm.... aku kena contohi dia.

Kawan-kawan, doakan aku, agar jadi kuat macam Ly Kecik jua. Dia hebat. Aku kagum. Mungkin Ly Kecik adalah guru dalam melaksana kerja seperti Haji Ahmad, guru agama di Kampung Anak Air Durian Daun pernah cakap.

Aku kena kembali ke rutin asal. Sewaktu bijak dulu. Kini langkahku banyak tersasar.

Cabaran terbesar sebagai Unicorn ialah menyiapkan Program Penilaian Profesional. Intipati idea aku sudah ada, tinggal lagi penyediaan kertas kerja dan pembentangan kepada bos.